header

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Detik waktu yang berlalu telah menyaksikan barisan kepimpinan PERUBATAN Cawangan Zagazig telah bersilih ganti.Walau bagaimanapun,mereka tetap akan membawa matlamat dan hala tuju yang sama iaitu untuk mengemudi ahli ke arah matlamat dan aspirasi mahasiswa yang seiring dengan tuntutan dunia dan akhirat.

Kepentingan untuk memilih pemimpin boleh dilihat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiga orang keluar bermusafir maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka untuk menjadi ketua ”.(Hadis riwayat Abu Daud)

Imam Ibnu Taimiyah Rahimullahu Ta’ala juga pernah berkata:

“Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan muslimin, merupakan kewajiban agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan keturunan Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, di mana sebahagiannya berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin.”

Justeru,ternyata pemilihan pemimpin merupakan satu perkara yang amat penting. Mereka akan mencorakkan keadaan sesuatu komuniti dengan lebih teratur dengan harapan kita semua dapat hidup di bawah atmosfera masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Mengekalkan Sistem Pencalonan

Sebagai sebuah badan bebas yang bernaung bawah PERUBATAN, Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN (JPP) 2016 bertanggungjawab untuk memastikan proses pemilihan Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) dan Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan (JKTPC) sesi 2017/2018 berjalan dengan lancar.

Pada tahun ini, JPP akan menggunapakai sistem ‘Pencalonan’ sebagaimana yang telah diamalkan 5 tahun kebelakangan ini. Melalui sistem ini, calon yang layak bertanding perlulah mendapat cadangan dan sokongan daripada individu yang lain..Sebelum hari pengundian berlangsung,ahli PERUBATAN akan melalui beberapa fasa pilihanraya iaitu,fasa pencalonan dan fasa kempen serta bantahan.

Pilihanraya Cawangan Zagazig

Setelah meneliti dari pelbagai aspek, pihak Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Zagazig telah menetapkan beberapa tarikh penting bagi menjayakan pilihanraya cawangan di Zagazig. Butiran adalah seperti berikut:

Perkara Tarikh
Jualan Borang Pencalonan 1-5 Disember 2016
Hari Pencalonan 6 Disember 2016
Pengumuman Senarai Calon Fasa I 8 Disember 2016
Tempoh Bantahan 8-16 Disember 2016
Hari Pengundian Zagazig 17 Disember 2016

Untuk pengetahuan, Hari Pengundian di Cawangan Zagazig diadakan serentak dengan cawangan-cawangan lain.

Seruan kepada Ahli

Tugasan untuk melantik pemimpin merupakan tanggungjawab kita bersama. Justeru itu, pihak kami menyeru semua ahli PERUBATAN Cawangan Zagazig untuk turut serta dan melibatkan diri sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya pada kali ini. Seterusnya, menjayakan sasaran kami agar sekurang-kurangnya 60% ahli PERUBATAN yang ada di Mesir turun mengundi di peringkat cawangan masing-masing.

Kuasa ditangan anda, sentiasalah amanah dalam mengendalikannya.

Wallahuta’alaa’lam.

“BERKAT, TELUS DAN CEKAP”

sa

 

 

 

 

 

MUHAMMAD SYAFIQ AFIFI BIN MOHD NASIR

Pengarah,
Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Zagazig 2016.